PETALING STREET3

Sakit hati budaya samseng di Petaling Street

Saudara Pengarang,
SAYA begitu terharu, bersimpati malah sakit hati apabila membaca surat Pelancong Malang, Machang, Kelantan di ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 16 Disember 2005 mengenai sikap kasar peniaga di Petaling Street. Sepanjang pengetahuan saya, pelbagai masalah berlaku di kawasan tersebut dan tiada tindakan diambil oleh pihak penguat kuasa.

Saya juga pernah mengalami peristiwa sama. Walaupun telah lama berlaku, sehingga kini saya begitu sukar untuk menerima dan melupakan kejadian tersebut. Saya seolah-olah menunggu hari di mana saya boleh membalas perbuatan tersebut.

Kejadian itu berlaku ketika saya menemani seorang rakan saya dari Sabah membeli-belah di kawasan tersebut. Rakan saya diugut untuk membeli pakaian yang telah dicuba walaupun beliau tidak bersetuju dengan harga dan pakaian tersebut.

Peniaga terbabit menjerit-jerit dan memaksa rakan saya membeli baju tersebut seolah-olah ingin memalukan kami serta menarik perhatian peniaga lain di situ. Rakan saya menjadi begitu takut lantas saya mengajak beliau untuk beredar dari kawasan tersebut.

Semasa kami berjalan keluar, tiba-tiba saya disepak dari belakang dan mengenai punggung saya. Saya merasa tercabar dengan tindakan terbabit dan menoleh ke belakang untuk membalas tindakan pukul curi terbabit.

Pada waktu itu saya melihat peniaga terbabit dikelilingi rakan-rakannya dan suasana menjadi seakan tidak terkawal dengan pelbagai cacian yang mereka lemparkan. Rakan saya kemudian menarik tangan saya untuk beredar dari kawasan tersebut.

Berdasarkan kejadian itu, saya sehingga kini tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Petaling Street. Bagi saya, peniaga di Petaling Street terlalu besar kepala, tidak beretika kurang ajar malah lebih berkuasa daripada pihak penguat kuasa yang ada.

Mereka bebas menjual apa sahaja, bertindak kasar, suka mengugut dan memaksa para pelanggan. Mereka tidak bertindak sebegitu kepada pelancong asing kerana pelancong asing bagi mereka senang untuk dikenakan. Pelancong tempatan langsung tidak dialu-alukan di sana.

Saya memohon agar tindakan diambil sebelum lebih banyak kejadian buruk berlaku di masa hadapan. Inilah bahananya jika tiada tindakan diambil dan hanya satu kaum sahaja dibenar mendominasi sesuatu kawasan perniagaan.

Saya juga menyeru kepada semua agar bertindak memulau peniaga samseng di Petaling Street. Lebih baik anda sekeluarga membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan Masjid India yang mana para peniaga di situ lebih berbudi bahasa dan menghormati hak-hak anda sebagai seorang pelanggan.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya merasa tindakan dianiaya sebegitu adalah tidak wajar sama sekali malah saya merasa tidak hairan bahawa kejadian peniaga samseng di Petaling Street di masa hadapan akan membawa kesan yang lebih besar ke atas keharmonian yang kita kecapi selama ini. - SAKIT HATI, Kuala Lumpur.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Leave a Reply