PETALING STREET2

Minta Teresa Kok lihat perangai peniaga Petaling Street

Saudara Pengarang,
HATI saya menjadi bertambah sakit apabila terbaca surat pembaca bertajuk Tutup Petaling Street jika peniaga rosak imej negara yang disiarkan dalam ruangan ini. Walaupun perkara ini sudah lama berlaku kepada saya, tetapi apabila terbaca ruangan ini sakit saya seolah-olah muncul semula.

Saya amat bersetuju dengan Adeputrajaya kerana mengutarakan hal ini. Sebenarnya hal yang amat memalukan Malaysia ini memang sudah lama sangat dipendam oleh mereka yang pernah dibantai oleh peniaga yang tidak berhati perut.

Saya sendiri telah dikejar dan dipukul dengan kayu hanya kerana tidak jadi membeli barang mereka. Paling menyedihkan, mereka yang ada di kedai berdekatan dan nampak kita dibantai hanya memandang dan langsung tidak ingin menolong.

Mungkin mereka sudah berpakat agaknya. Apakah jenis peniaga mereka ini?

Saya rasa Malaysia tidak mengamalkan membeli dengan paksa. Bukankah pengguna ada hak untuk memilih barang yang hendak dibeli.

Nampaknya peniaga di Petaling Street seolah-olah sudah sedap mengamalkan perbuatan yang tidak bermaruah ini. Setelah sekian lama dan semakin canggih zaman ini rupanya masih berlaku lagi amalan hina di kalangan sesetengah peniaga di kawasan ini.

Saya juga menyeru Theresa Kok turun memastikan perkara ini tidak akan berlaku kepada sesiapa lagi. - NORRIS ISLAM, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Source: www.utusan.com.my

Leave a Reply