PETALING STREET 1
Tutup Petaling Street jika peniaga rosak imej negara
Saudara Pengarang,
SAYA merasa seolah terpanggil untuk menjawab aduan yang dikemukakan oleh Pelancong Malang dari Kelantan sewaktu membawa keluarganya membeli-belah di Petaling Street. Saya rasa ini bukanlah pertama kali berlaku, bahkan berlaku setiap hari.
Jika beginilah keadaannya maka kita seolah-olah membiarkan budaya samseng serta tidak bertamadun cuba merosakkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.
Kes seperti ini banyak berlaku di mana pembeli yang terdiri dari warga tempatan dan juga pelancong asing menerima nasib yang sama.
Paling menghairankan mereka ini berasa malu atau takut untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis kerana trauma dengan kejadian itu. Mereka malu memikirkan mereka akan diketawakan oleh orang lain sedangkan banyak lagi kawasan di sekitar Kuala Lumpur untuk membeli-belah.
Mereka ini tertipu oleh momokkan kononnya harga barangan di Petaling Street ini murah sedangkan dari segi realitinya barangannya langsung tidak berkualiti yang merupakan barang lambakan dari China.
Pernah sekali saya menerima aduan daripada sepasang warga emas Mesir di mana mereka dipaksa membeli sebuah dompet kulit dengan harga RM150 sedangkan di pasar malam hanyalah RM10. Oleh kerana takut dipukul kerana peniaga itu mengacu kayu, akhirnya mereka mengalah.
Seorang pelancong dari Thailand nyaris dikejar dan dipukul kerana membuat tawar-menawar barangan yang menurutnya jauh lebih mahal dari harga di Thailand.
Kisah ini adalah segelintir daripada kes pelancong diberi layanan yang amat buruk oleh peniaga Petaling Street.
Golongan peniaga beginilah yang menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum yang hidup dengan harmoni. Kerana sikap buruk inilah banyak pelancong asing yang saya temui beralih angin dan membeli-belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.
Mereka sebaliknya menganggap peniaga di Petaling Street ibarat lintah darat yang akan menyembelih sesiapa saja yang dianggap pelancong.
Ramai pelancong asing adalah kalangan yang banyak duit dan mampu membeli barangan itu namun daripada aduan mereka kebanyakannya merasa amat sakit hati dengan sikap, percakapan dan tindakan ganas peniaga tersebut.
Mereka mengatakan cukup serik dan bersumpah untuk tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke Malaysia kerana kebiadapan dan diperlakukan sedemikian.
Saya menyeru agar ahli Parlimen Seputih, Theresa Kok agar menafikan perkara ini jika beliau merasakan tindakan sebegini tidak memburukkan imej Malaysia.
Tindakan beliau yang membangkitkan layanan polis ke atas tahanan telah menimbulkan perdebatan yang sia-sia di Parlimen seterusnya merosakkan imej Malaysia yang mana akhirnya ternyata semua tuduhan itu palsu.
Saya menyeru agar Theresa Kok cuba meluangkan masa untuk merayap di sekitar Petaling Street dan menyaksikan kebiadapan peniaga-peniaga itu melayani pelancong-pelancong asing.
Jika keadaan tidak terkawal, saya berharap Petaling Street hendaklah ditutup daripada terus merosakkan imej negara. - ADEPUTRAJAYA, Putrajaya.
Source: www.utusan.com.my