SELAMATKAN MASJID AL-AQSA

Kita prihatin terhadap keadaan Masjid Al-Aqsa yang retak dan terjejas akibat kerja-kerja penggalian sejarah di bawahnya oleh pihak berkuasa Israel.

Sesungguhnya perbuatan rejim Tel Aviv itu adalah tidak bermoral. Sudahlah ia menduduki Baitulmadis secara haram, kemudian melakukan kerja-kerja pembinaan di sekitarnya tanpa menghirau keadaan bangunan masjid ketiga mulia dalam Islam itu.

Perbuatan rejim Tel Aviv ini melanggar undang-undang antarabangsa yang menghalang mereka daripada mengubah identiti dan rupa bentuk Masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun, hakikatnya Rejim Tel Aviv tidak mempunyai nilai-nilai penghormatan pada hak pihak lain walaupun ia berupa tempat suci agama, apatah lagi ia telah diisytiharkan oleh badan dunia sebagai Tapak Warisan Sedunia.

Tindak-tanduk rejim Tel Aviv itu bukan saja menyinggung perasaan umat Islam tetapi menambah lagi api kemarahan sedia ada terhadapnya.

Sejak penubuhan negara Israel, kita sudah menyaksikan betapa polisi dan perbuatan itu, yang didukung oleh Amerika Syarikat (AS) menjadi punca akar kepada suasana tidak selamat berlaku pada hari ini, termasuk ancaman keganasan.

Dalam hal ini, Tel Aviv dan Washington tidak menyumbang secara berkesan kepada usaha menangani punca keganasan yang berkisar soal Palestin itu.

Adalah wajar bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membuat kenyataan Isnin lalu meminta Israel lebih berhati-hati dalam hubungannya dengan Masjid Al-Aqsa.

Sesungguhnya OIC yang ditubuhkan pada 25 September 1969 pada mulanya pun ditubuhkan sebagai respons negara-negara Islam terhadap perbuatan membakar Masjid Al-Aqsa oleh anasir-anasir Zionis pada 21 Ogos 1969.

Kita juga berkongsi perhatian berat oleh Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu yang menyatakan bahawa rejim Tel Aviv sedia melakukan percubaan untuk mengubah ciri-ciri Masjid Al-Aqsa itu.

Kita sedar bahawa di Israel terdapat gerakan yang mahu meyahudikan tapak-tapak Islam di Baitulmadis dengan melenyapkan sebarang mercu tanda budaya asal di situ, khususnya Masjid Al-Aqsa.

Terdapat di kalangan mereka mempunyai niat dan azam untuk membina semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman yang didakwa mereka sebagai bangunan asal di tapak Masjid Al-Aqsa.

Untuk memenuhi tujuan itu, mereka telah membuat kajian sejarah yang membabitkan pencerobohan dan penggalian di bawah bangunan Masjid Al-Aqsa. Walaupun pada zahirnya ia ditampilkan sebagai suatu kajian ilmiah tetapi sebenarnya ia merupakan sebahagian daripada gerakan untuk menghapuskan tanda-tanda bersejarah Palestin dan Islam.

Dengan didorong oleh fanatisme agama Yahudi dan kerakusan politik Zionisme, usaha itu bertujuan untuk memusnahkan bukan saja Masjid Al-Aqsa tetapi identiti agama Islam dan rakyat Palestin.

Kajian sejarah dan arkeologi yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv itu penuh kepalsuan sedangkan hakikatnya Palestin merupakan bumi yang sarat dengan khazanah silam meliputi pelbagai era di mana Islam merupakan ciri muktamad dan tidak boleh dipadam begitu saja.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Leave a Reply